Thursday, February 28, 2013

# Week 2: Multimedia Development Process

Assalamualaikum

Pada minggu ini, kami didedahkan mengenai multimedia development process.Untuk refleksi pada kali ini, saya ingin menerangkan model ADDIE mengikut pemahaman saya semasa di dalam kelas.



1. Fasa Analisis (analysis) 

Dalam fasa ini, pembangun melaksanakan proses menganalisis terhadap keperluan perisian bagi
memastikan pembangunan sesebuah perisian lebih terancang dan sistematik. Sebagai contoh, analisis
terhadap kandungan pelajaran serta gaya pembelajaran pengguna. Gaya pembelajaran pengguna merujuk
kepada bagaimana individu menerima dan memproses maklumat untuk ditukarkan kepada bentuk
pengetahuan. Oleh itu, fasa ini adalah sangat penting bagi menentukan pemilihan strategi pembelajaran
yang sesuai.

Fasa ini juga merupakan fasa yang utama memandangkan ianya membolehkan seseorang pembangun
perisian memahami dengan jelas syarat-syarat atau ciri-ciri utama sesebuah projek pembangunan
dilaksanakan. Dalam langkah ini, pembangun membina kefahaman mengenai pengguna perisian,
persekitaran di mana perisian digunakan, matlamat yang cuba dicapai untuk perisian, kekuatan dan
kekangan perisian yang akan dibina dan sebagainya. Pembangun telah melakukan beberapa analisis
seperti analisis terhadap pelajar dan analisis terhadap persekitaran pembelajaran.


2. Fasa Rekabentuk (Design)

Fasa ini dilaksanakan selepas proses analisis keperluan selesai. Ia menjelaskan pandangan keseluruhan
mengenai rupa bentuk, struktur, pendekatan pengajaran, teori pembelajaran, jenis media dan teknologi
yang akan terlibat. Beberapa perkara perlu ditentukan di dalam fasa ini, antaranya
ialah pembentukan objektif yang khusus untuk pengajaran dan pemilihan strategi pengajaran.


3. Fasa Pembangunan (Development ) 


Dalam fasa pembangunan, pembangun telah membangunkan modul pembelajaran multimedia interaktif

dengan menggunakan aplikasi-aplikasi yang sedia ada. Pembangun perlu
menggunakan segala pendekatan dan rekabentuk yang telah ditentukan dalam fasa rekabentuk.


4. Fasa Perlaksanaan (implementation) 

Fasa perlaksanaan ini bertujuan untuk mengetahui adakah perisian yang dibina ini memenuhi keperluan objektif dan juga sesuai digunakan oleh pengguna. Bahan pengajaran yang telah disiapkan akan digunakan atau dipersembahkan dalam keadaan yang sebenar kepada beberapa orang pakar untuk menguji keberkesanannya serta mengkaji kelancaran perisian multimedia tersebut. Dengan
ini, pembangun dapat melihat masalah-masalah yang tidak disedari sewaktu fasa rekabentuk dan
pembangunan. Seterusnya, sebelum perisian yang sebenar dikeluarkan secara rasmi, pembangun telah
memperbaiki aspek-aspek kelemahan yang telah dikenalpasti melalui proses pemulihan.


5. Fasa Penilaian (Evaluation) 
Penilaian terbahagi kepada dua bahagian, iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif. Penilaian
formatif dilakukan terhadap semua fasa untuk memastikan keberkesanannya. Manakala penilaian sumatif
pula berlaku di peringkat akhir penghasilan perisian. Ia melibatkan maklumbalas daripada
pengguna terhadap isi kandungan, strategi, grafik, audio, video, antaramuka dan sebagainya melalui
penyeliaan, ujian, soal selidik dan temubual.

Sekian sahaja refleksi saya pada hari ini.







No comments:

Post a Comment