Thursday, March 21, 2013

# Week 4: Information Design

Assalamualaikum

Pada minggu ini, kami belajar mengenai information design untuk courseware yang bakal kami bangunkan. Untuk tugasan kelas CD ROM, kami perlu membina satu courseware pembelajaran yang interaktif. Tugasan ini adalah tugasan berkumpulan. Pada sesi pembelajaran minggu lepas, kami telah diajar mengenai langkah atau proses yang pelu dilalui untuk membina sesebuah courseware. 

Di sini saya ingin menerangkan balik mengenai information design yang saya faham semasa di dalam kelas.

Rekabentuk Informasi merupakan proses menjelaskan matlamat sesuatu perisian serta menyusun isi kandungan perisian kepada satu rekabentuk yang dapat membantu ke arah  pencapaian matlamat tersebut. Biasanya dalam proses rekabentuk Informasi ini, cartalir atau  flow chart bagi perisian akan dihasilkan. Berikut adalah beberapa tugas utama yang akan dilaksanakan di dalam fasa reka bentuk informasi ini.  Dalam merekabentuk informasi perisian berunsurkan pendidikan, pemilihan strategi  pengajaran yang sesuai perlu diambil kira agar perisian yang dibina bersesuaian dengan cara pembelajaran manusia khususnya kumpulan sasaran yang akan menggunakan perisian tersebut. Salah satu strategi atau kaedah yang boleh digunakan untuk merangka dari segi susun  atur dan rekabentuk isi pelajaran dalam sesuatu perisian berbentuk pendidikan ialah 9 peringkat pembelajaran oleh Robert Gagne. Menurut Gagne, isi pelajaran yang ingin diajar perlulah melalui setiap aras pemindahan dan penukaran maklumat yang berlaku dalam ingatan manusia secara turutan.


Berdasarkan kepada peringkat pembelajaran yang dipaparkan, reka bentuk isi
pelajaran yang ingin dipersembahkan oleh sesebuah perisian bolehlah disusun mengikut
aturan tersebut. Berikut merupakan penerangan yang lengkap bagaimana untuk
mengaplikasikan peringkat pembelajaran ini di dalam sesebuah perisian multimedia
pendidikan :

  1. Untuk mengajar mengenai sesuatu perkara, perisian seharusnya cuba menarik atau mendapatkan perhatian dan daya tumpuan pelajar terhadapnya terlebih dahulu. Ini boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah terutamanya dengan penggunaan perbagai elemen multimedia yang menarik dan dinamik sifatnya. 
  2. Setelah perhatian pelajar diperolehi, perisian seharusnya perlu memaklumkan kepada para pelajar mengenai objektif atau matlamat pembelajaran yang harus dicapai oleh mereka setelah mengikutinya.
  3. Seterusnya, cuba ingatkan pelajar kembali mengenai pengetahuan sedia ada mereka yang berkaitan dengan topik yang ingin diajar. 
  4. Langkah seterusnya, berikan rangsangan kepada pelajar menerusi penghuraian konsep baru yang ingin diajar. 
  5. Berikan bantuan yang secukupnya kepada pelajar sama ada dalam bentuk demonstrasi atau contoh agar mereka akan dapat memahami konsep tersebut dengan lebih mudah dan pantas. 
  6. Selepas itu, sediakan sesi yang membolehkan pelajar diuji bagi memastikan konsep yang telah disampaikan dapat diterima dengan berkesan. 
  7. Berikan maklum balas ke atas jawapan yang diberikan oleh pelajar sama ada ianya betul atau salah. Sertakan penerangan yang betul mengenai konsep tersebut agar kefahaman pelajar dapat dikukuhkan. 
  8. Berikan laopran skor atau markah kepada jawapan yang dijawab oleh pelajar dan lakukan pembetulan sekiranya perlu. 
  9. Huraikan konsep tersebut semula dalam situasi yang lain dan bantu pelajar untuk membuat perkaitan serta generalisasi ke atas konsep tersebut. 

Sekian sahaja refleksi saya pada minggu ini. Refleksi ini adalah apa yang saya faham mengenai sesuatu topik yang diajar. Kalau terdapat kesalahan fakta atau info harap diberi teguran untuk saya betulkan.


No comments:

Post a Comment